Friday, April 22

Sabar lah Wahai Hati

Pejam celik dah lebih kurang setahun lebih aku kahwin. Kalau ikutkan, tak la lama sangat pun. Tapi macam-macam pengalaman lepas kahwin ni yang tak semua orang hadapi dengan 'cara' yang sama.

   Baru-baru lepas nikah, masih nak belajar hidup bersama, sebumbung, sepinggan, sebantal. Banyak juga dengar daripada 'senior' & orang sekeliling, masa 3-4 bulan pertama memang cabaran untuk dapatkan keserasian hidup bersama, berkongsi segala. Aku pun tak lepas daripada situasi-situasi macam tu. Sampaikan cara letak berus gigi dalam bilik air pun jadi isu :p

   Tapi, cabaran kami rasanya bertambah bila 'ujian' lain yang jarang-jarang orang biasa hadapi. Ingat lagi masa tu bulan ke-2 lepas nikah. Lepas balik honeymoon dengan keluarga aku di Pulau Tioman, kami sambung bercuti di Pasir Mas. Nak dijadikan cerita, lepas aku tunjuk skill masak lontong di rumah mertua petang tu, aku pun naik bilik untuk solat & rehat sampai tertidur. Penat sangat sebab dari pagi merayap pergi window shopping di Rantau Panjang. Masa tu la yayang borak-borak dengan ma, kakak, & abang ipar.

   Nasib baik aku tertidur tak lama ( ingat ni rumah kau kat BP ke nak melantak tidur berjam-jam! ). Cepat-cepat aku turun ke dapur. Dia orang masih berbual-bual tapi suasana agak hambar. Aku duduk sebelah yayang.

      " Ada berita kurang baik...", ma pandang aku tenang.

      " Oh, ada apa???," soal aku sambil pandang muka yayang mengharapkan penjelasan.

      " Saya ada sakit, yang.", jawab yayang perlahan.

   Berderau darah aku dengar jawapan daripada yayang. Kenapa tiba-tiba tau ada penyakit? Aku tengok yayangku sihat duduk sebelah aku. Oh, lupa. Depan aku ada 2 orang doktor rupanya. Kakak ipar aku tu doktor & suami dia pula doktor yang baru habis sambung master rheumatology.

   Semua kebetulan ni jadi masa dia orang borak-borak daripada satu tajuk ke satu tajuk. Termasuklah bab-bab kesihatan seharian terutama daripada ma sendiri. Ada la satu tajuk tu, ma mengadu pasal jari-jari dia (aku tak ingat dah). Tapi doctor in house cakap tu sakit biasa bila dah menjangkau usia. Duk asyik belek-belek jari, terbelek sekali jari yayangku. memang sebelum tu yayang ada ngadu jari dia bengkak. Susah nak buat kerja melukis. Sekali abang ipar tengok, dia tanya pasal kuku yang rosak. (Aku pun tak perasan pasal kuku tu).

   Abang ipar dah mula suspicious, dan terus tanya tanda-tanda lain yang mungkin ada. Salah satu simptom yang jelas ialah morning stiffness. Bila bangun pagi, ada rasa sakit belakang. Memang pernah satu pagi tu, tengah bersiap nak pergi kerja. Tiba-tiba yayangku minta tolong aku bukakan baju dia sebab tak boleh buka sendiri. Tangan/bahu/belakang dia sakit sampai tak boleh gerak. Tapi waktu pagi saja. Sejak tu memang pagi-pagi mesti ada rasa sakit & tak selesa. Sejak tu juga la yayang selalu mengadu kalau lama sangat melukis, jari dia akan sakit dan rasa bisa.

   Selesai abang ipar yang juga doktor (rheumatologist) buat basic diagnosis, dia pun dapat hipotesis yayangku ada penyakit berkaitan sendi atau nama sainsnya, Psoriasic Athritis. Berbekalkan surat doctor in house ni, kita orang dinasihatkan segera rujuk pada doktor pakar. Lepas dah tau berita kurang baik ni, disusuli pulak macam mana nak pulihkan penyakit ni. Aku difahamkan, penyakit ni memang tak boleh pulih dan ia termasuk dalam 36 penyakit kritikal (senarai biasa yang ada dalam insurans/takaful). Masa ni lah baru sedar pentingnya setiap orang wajib perlu ambil insurans/takaful, tau!

   Penyakit ni memang takkan sembuh (kecuali dengan izin Allah), walaupun ada ubat & rawatan tertentu. Ubat hanya untuk melambatkan aktiviti sel penyebab sakit ni. Berderau juga dengar...belum lagi tengok kesan pada anggota badan (terutama jari) bagi pesakit yang dah serius atau pesakit yang tak dapatkan rawatan berkala.

   Selain tu, ada satu lagi kejutan yang kalau boleh memang tak nak dengar pun. Ubat yang 'bakal' yayangku makan nanti ada risikonya. Ringkas cerita, ubat ni tak elok untuk tumbesaran janin/bayi dalam kandungan. Sebagai 'pengantin baru' (lagi pulak yang dah lanjut usia macam aku ni), tiada perkara yang lebih dinantikan selain perkhabaran berita untuk menimang cahaya mata yang sihat & comel. Disebabkan keutamaan kami buat masa ini adalah kesihatan yayangku, kami redha untuk menunggu sedikit masa yang lebih baik untuk perkhabaran gembira itu. Allah SWT lebih dulu, lebih tahu dalam mengatur hidup kami dan ia kami anggap sebagai ujian bagi hambaNya yang terpilih. Sesungguhnya, terlalu banyak rahmat di sebalik ujian yang sedang kami hadapi. 

   InsyaAllah, kami masih sabar dan memohon doa daripada Allah supaya kami terus sabar dengan ujianNya. Selama kami mendirikan rumahtangga, aku sedar memang banyak hikmahnya kenapa kami belum berpeluang mempunyai zuriat. Aku sangat-sangat bersyukur kerana Dia telah memberi peluang untuk kami menyusun hidup    sebagai suami isteri yang lebih tenang dan bahagia.

   Tatkala hati tersentuh dengan rakan taulan yang sibuk dengan telatah permata hati masing-masing, cepat-cepat aku larikan perasaan kepada rakan yang jauh lebih lama menunggu kehadiran si kecil, darah daging sendiri. Aku bukan sendirian. Malah, ada yang lebih lama diuji Allah. 

   "Sabar ye yang, ada orang lagi lama tunggu. Lagi pulak, bukan ada sebab macam kita." pujuk yayang bila aku mula buat muka sedih.

   "Saja je la...tau memang kita belum mampu, sebab tu Allah bagi 'sebab' supaya kita lambat sikit dapat anak, kan? " jawab aku ikhlas juga untuk tenangkan hati sendiri :)

Ya Allah, moga kami terus bahagia di bawah lindunganMu. 
Ya Allah, moga kami diberi peluang untuk merasai nikmat menjadi abah & mama
Ya Allah, moga kami terus bersyukur padaMU dengan apa yang kami ada
Ya Allah, moga kami tidak lupakanMu semasa kami susah, mahupun semasa kami senang
Ya Allah, berikanlah kami kekuatan, iman yang teguh untuk terus melaksanakan amanahMu


ps: jangan sedih-sedih, aku ok jeh :D






   


   

No comments: